Rutin Si Manja

Rutin Si Manja

KONGSI ARTIKEL

Tiada peranan yang lebih mulia selain menjadi ibu bapa. Kita mempunyai kira-kira 9 bulan (atau ada yang kurang dari itu!) untuk membuat persediaan mental dan mempelajari segala yang termampu untuk memberikan yang terbaik kepada insan paling berharga yang dianugerahkan kepada kita. Walau sebaik mana pun kita merancang, segalanya seakan tidak menjadi ketika berhadapan dengan situasi sebenar apabila yang ditunggu akhirnya tiba. Seorang kawan saya pernah berkata, “Kehidupan saya tidak akan berubah dengan kehadiran bayi ini,” namun sangkaan beliau meleset sama sekali. Cahaya mata lelaki beliau telah mengubah kehidupannya menjadi lebih bermakna dari sudut yang tidak pernah beliau bayangkan! Walau bagaimanapun, apa yang beliau katakan itu ada benarnya, iaitu dari aspek pembentukan rutin.

Terdapat pelbagai perkara di luar jangkaan yang dialami oleh ibu bapa, tanpa mengira sama ada anda baru menimang cahaya mata pertama atau yang ke sepuluh! Setiap anak memiliki keperibadian mereka sendiri (percayalah, saya telah menimang lima orang cahaya mata!) dan walaupun mengenali diri setiap daripada mereka merupakan suatu penerokaan yang mengujakan, namun, kita juga boleh mula merancang demi masa depan dengan memperkenalkan rutin-rutin yang bersesuaian untuk semua.

Rutin adalah suatu cara yang baik bagi membantu anak-anak anda belajar untuk menjangka perkara yang bakal berlaku dalam kehidupan seharian mereka. Ia membentuk suasana yang selamat dan memberi kepastian dalam kehidupan seharian di mana banyak lagi perkara baharu lain yang bakal mereka lihat, dengar dan pelajari. Dengan adanya rutin, kanak-kanak berpeluang untuk berasa selamat, disayangi dan yakin untuk menerokai dunia mereka.

Rutin pagi

Selepas membangunkan anak anda daripada tidur, tukarkan lampinnya (atau bawanya ke tandas, bergantung kepada usianya). Pakaikan pakaian dan bersarapanlah bersama-sama. Peluang ini boleh anda gunakan untuk menampilkan adab di meja dan tabiat makan yang baik kepada anak anda, di samping memastikan permulaan pagi yang sihat bagi semua. Ia juga merupakan peluang yang amat baik untuk anda memperuntukkan masa berkualiti bersama seisi keluarga sebelum hari anda benar-benar bermula!

Menukar lampin

Anda boleh menjadikannya sesuatu yang menyeronokkan dengan memastikan agar ia merupakan detik-detik bersama yang istimewa. Manfaatkan masa ini untuk bercakap dengan anak anda agar mereka berasa seronok sehingga ia menjadi sebahagian daripada kehidupan harian yang mereka boleh jangkakan. Menukar lampin kotor mungkin sesuatu yang kurang menyeronokkan bagi kita, namun anda boleh menggunakan tempoh beberapa minit semasa melakukannya untuk berhubung menerusi pandangan mata dengan anak anda dan memberikan perhatian yang mereka perlukan.

Waktu makan

Adalah penting untuk anda pastikan supaya waktu makan adalah pada sekitar masa yang sama setiap hari supaya anak anda boleh menjangka jadual makan mereka. Perlu diingati sekali lagi, kita hendaklah makan bersama (seboleh mungkin) untuk memungkinkan komunikasi, membolehkan anda menampilkan contoh yang baik dan suasana kekeluargaan yang seharusnya menjadi keutamaan. Ia juga merupakan kesempatan yang baik untuk memberikan anak-anak anda tanggungjawab seperti menyediakan atau mengemas meja makan.

Tidur petang

Ada di kalangan ibu bapa/penjaga yang memilih untuk memberi kanak-kanak makan tengahari dan kemudian mengadakan waktu senyap selepas makan sebelum mendodoikan mereka tidur. Jika anda telah membentuk rutin begini di awal usia, kemungkinan untuk mereka meragam adalah amat kecil kerana mereka telah terbiasa dan dapat menjangkanya.

Waktu mandi

Selepas makan malam, anak anda mungkin inginkan waktu berkualiti bersama ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali yang mungkin tiada bersama mereka pada siang hari, atau sekadar berehat setelah melalui hari yang memenatkan. Beritahu anak anda bahawa mereka akan dimandikan kira-kira 10 minit sebelum masa mandi. Ini adalah untuk memaklumkan jadual seterusnya supaya mereka bersedia. Mandian yang hangat boleh memberi kelegaan dan amat menenangkan. Oleh itu, pastikan tidak terlalu banyak perkara yang boleh mengganggu perhatian mereka atau terlalu banyak mainan yang boleh mereka main pada ketika ini. Pastikan si manja anda bertenang dan diam, dan kemudian pakaikan baju tidur mereka.

Tidur

Anda perlu pastikan bahawa apa jua rutin yang anda pilih untuk waktu ini hendaklah konsisten. Sesetengah keluarga mengamalkan ciuman dan pelukan selamat malam atau membaca sebuah (atau tiga buah!) cerita di katil anak-anak oleh kedua-dua ibu bapa. Ada pula yang membacakan buku cerita di ruang tamu sebelum membawa anak-anak ke bilik sambil berlatarkan alunan muzik yang menenangkan. Apa jua yang anda amalkan, pastikan anak anda dapat menjangka apa yang bakal terjadi supaya mereka tidak membuat perangai di penghujung hari yang memenatkan.

Kanak-kanak (juga orang dewasa!) bertindak balas dengan baik terhadap rutin. Kita juga perlu dapat menjangka apa yang bakal berlaku dalam kehidupan seharian kita. Keadaan ini akan memberikan kita kepastian dan rasa selamat. Ia mengurangkan tahap kerisauan yang melanda supaya kita berpeluang untuk mencuba sesuatu yang baharu dan belajar tentang diri sendiri dan persekitaran kita. Pastikan anda merangka jadual seperti yang dinyatakan di atas. Walau bagaimanapun, anda juga harus ingat bahawa tidak semuanya akan mengikut sebagaimana yang dirancang, justeru, perlu juga ada tolak ansur atau fleksibiliti!

huggies-logo

Berminat untuk dapatkan berita terkini, petua keibubapaan dan tawaran eksklusif?

SERTAI KAMI HARI INI!

You might like these pregnancy articles!

Merangsang perkembangan pertuturan bayi anda

Merangsang perkembangan pertuturan bayi anda

Baca Lebih Lanjut
Pergi Bercuti Dengan Bayi Anda Tanpa Sebarang Masalah

Permudahkan Percutian Dengan Bayi Anda

Baca Lebih Lanjut

Adakah Bayi Anda Bersedia untuk Makanan Pepejal?

Baca Lebih Lanjut