Semua kategori
Diet kehamilan
Bersiap sedia untuk bersalin
Penjagaan diri ketika kehamilan
Mencuba untuk hamil?
Jangkaan ketika kehamilan
Trimester ke-2
Trimester ke-3

Kegatalan Kulit Semasa Mengandung

Itchy-Skin-During-Pregnancy

Salah satu kesan sampingan kehamilan ialah kegatalan kulit. Pasti anda hairan mengapa masalah sekecil ini perlu disertakan di sini dan anda mungkin terfikir – apa masalahnya dengan sedikit rasa gatal? Pendapat anda mungkin berbeza jika anda sendiri pernah mengalaminya kerana kegatalan kulit semasa mengandung boleh mendatangkan penderitaan yang bukan sedikit disebabkan kerengsaannya yang seakan tiada berpenghujung.

Apakah Penyebab Kegatalan Kulit Semasa Mengandung?

Tiada punca khusus yang menyebabkan kegatalan kulit semasa mengandung dan umumnya, terdapat pelbagai sebab kenapa ia berlaku.

Antara penyebab paling lazim:

Hormon-hormon semasa mengandung dan kesannya terhadap kulit.
• Kulit pada payudara dan abdomen meregang dan mengetat.
• Kulit kering disebabkan oleh keadaannya tidak selembap dan kurang mendapat khasiat seperti sebelum mengandung.
• Ekzema; ada di kalangan wanita yang mengalami peningkatan atau pengurangan simptom ekzema semasa mengandung.
• Kolestasis disebabkan Kehamilan. 

Apa Yang Boleh Saya Lakukan Bagi Menghentikan Kegatalan Kulit Semasa Mengandung?

Anda boleh memilih pelbagai rawatan, bergantung kepada penyebab kegatalan tersebut. Walau bagaimanapun, beberapa langkah mudah boleh membantu, dan jika tiada sebarang kelegaan dirasai, anda boleh menukar kepada kaedah yang lain.

 

  • Cuba untuk tidak mandi pancuran air panas atau berendam dalam air panas terlalu lama (rujuk fakta seterusnya). Air dan haba boleh mengeringkan kulit, justeru, mandilah dengan air suam pada takat suhu yang selesa.
  • Anda mungkin menggemari mandian emping oat yang amat melegakan. Bincanglah dengan ahli farmasi berhubung larutan Koloid Emping Oat. Ia merupakan serbuk oat dikisar halus yang kemudiannya ditaburkan dalam air mandian.
  • Semasa membilas rambut selepas di syampu, cuba elakkan daripada air bilasan tersebut mengalir ke bahagian-bahagian badan yang lain. Halakan pancuran mandi supaya air mengalir terus ke saluran air dan bukan ke tubuh anda.
  • Elak daripada duduk berhadapan dengan radiator atau kipas pemanas.
  • Anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk tidak memakai coli selama beberapa jam setiap hari jika tali getahnya menyebabkan anda rasa gatal dan terganggu.
  • Pastikan kain yang menyentuh kulit diperbuat daripada bahan semulajadi. Nilon dan bahan tiruan boleh menyebabkan rasa gatal bertambah teruk.
  • Kulit anda mungkin berasa tidak selesa dan gatal apabila bersentuhan dengan bulu biri-biri. Oleh itu, pakailah pakaian diperbuat daripada benang kapas di antara bulu biri-biri dan kulit anda.

     

  • Anda juga mungkin perlu membilas kain cadar dan selimut beberapa kali jika anda berasa gatal pada waktu malam. Ini akan membantu menyisihkan saki-baki sabun daripada celah-celah benang. Pastikan juga bahawa cadar anda diperbuat 100% daripada kapas dan bukan poliester/kapas campuran. Ini kerana benang tiruan boleh menyebabkan kegatalan yang amat sangat.
  • Sapukan pelembap kulit sekurang-kurangnya dua kali sehari atau sekerap mungkin. Masa terbaik untuk menyapu pelembap adalah semasa kulit anda masih terasa panas dan sedikit lembap selepas mandi. Pastikan anda menyimpan losyen di dalam bilik mandi, bersebelahan dengan katil dan di atas meja kerja supaya anda sentiasa teringat untuk memakainya.
  • Losyen kalamin boleh memberi kelegaan. Walaupun ia telah ada sejak dari dahulu, namun ia masih berkesan. Losyen kalamin adalah murah, senang didapati, mempunyai tempoh luput yang lama dan tidak berbau terlalu busuk.
  • Kain lembap dingin yang diletakkan di atas kulit gatal juga boleh membantu. Simpan beberapa kain lembap dalam peti sejuk supaya anda boleh “menggilirkannya“ apabila perlu.
  • Jika cuaca panas, gunakan kipas dan penyaman udara untuk mengurangkan suhu bilik. Kegatalan semasa mengandung menjadi bertambah teruk apabila berpeluh. Jadi pastikan anda menyejukkan badan apabila berpeluang berbuat demikian.
  • Pakailah pakaian longgar yang membenarkan udara beredar di permukaan kulit. Kain yang bergesel dan bersentuhan dengan kulit boleh menyebabkan kerengsaan yang teruk. Oleh itu, pakailah busana bergaya Boho dan serlahkan naluri Alam Semula Jadi anda dengan mengenakan fabrik yang beralun, longgar dan selesa.
  • Mandi sekerap yang anda perlu untuk membantu menyejukkan badan. Semasa musim panas, anda tidak perlu mengelap badan hingga kering, sebaliknya biarkan air menyejat dari kulit.
  • Apabila anda berenang di kolam renang, anda mungkin mendapati bahawa klorin/garam/bahan kimia dalam air kolam boleh memburukkan lagi rasa gatal pada kulit. Oleh itu, pastikan anda membilas badan di bawah pancuran air sebaik sahaja keluar dari kolam.
  • Berbincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui sama ada anda boleh menggunakan krim steroid atau ubat anti histamina.
  • Anda juga boleh mengikuti kelas-kelas yoga, meditasi dan/atau relaksasi jika ia dapat membantu. Kalau anda berasa gusar dan khuatir mengenai kegatalan yang anda hadapi, mungkin sesi relaksasi dengan pembimbing boleh membantu.

Perkara Lain yang Boleh Mengurangkan Kegatalan Kulit.

  • Pastikan kuku anda sentiasa pendek dan ratakan hujung-hujung yang tajam. Kikis kuku anda supaya ia licin. Ini dapat membantu mengurangkan kecalaran kulit jika anda perlu menggarunya.
  • Jika anda menggaru kulit semasa tidur, sarungkan stokin pada tangan anda untuk mengurangkan kecalaran kulit akibat digaru.
  • Jika anda benar-benar perlu menggaru, jangan gunakan kuku, sebaliknya cuba menggeselkannya dengan kulit tangan atau menggosok-gosok bahagian yang gatal tersebut.
  • Tukar cadar dan selimut anda secara kerap – cadar dan selimut yang dingin dan segar amat melegakan apabila anda mempunyai masalah kegatalan.
  • Elakkan daripada berasa terlalu panas semasa di atas katil. Cuba gunakan selimut benang kapas yang ringan dan nipis untuk melindungi diri daripada kesejukan dan bukan gebar yang tebal dan berat.
  • Jika pasangan anda mengeluarkan banyak haba semasa tidur, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk mengasingkan tempat tidur. Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.
  • Jika anda menggunakan selimut elektrik, pelarasan pada takat hangat dan bukan panas mungkin boleh membantu anda untuk tidak berasa terlalu gatal.
  • Jika anda mempunyai haiwan peliharaan di dalam rumah, pastikan kesemuanya dinyah kutu dan cacing secara kerap. Sikat bulunya dua hari sekali dan buang bulu yang tanggal dengan teliti. Epidemis atau sisik haiwan yang terdiri daripada sel-sel kulit boleh menambah kerengsaan pada kulit yang gatal.
  • Cuba fikirkan jenama dan jenis deodoran yang sedang anda gunakan. Sesetengah wanita mempunyai kulit yang lebih sensitif semasa mengandung dan mendapati bahawa mereka tidak lagi boleh menggunakan jenama kelengkapan dandanan peribadi biasa mereka pakai.
  • Pertimbangkan semula detergen basuhan anda.

Membeli detergen khusus untuk kulit sensitif dengan haruman yang rendah atau tanpa haruman boleh membantu. Membiasakan dengan amalan membilas pakaian yang akan anda pakai beberapa kali juga mungkin boleh membantu.

Kolestasis Kehamilan

Salah satu jenis kegatalan kulit yang ekstrem semasa kehamilan adalah disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai Kolestasis.

Ia berlaku apabila garam hempedu yang terbentuk dalam hati dan disimpan di dalam pundi hempedu tidak mengalir keluar seperti biasa. Garam hempedu itu kemudian melimpah ke dalam aliran darah dan menyebabkan kegatalan yang melampau. Perubahan proses ini berlaku disebabkan oleh hormon-hormon kehamilan.

Sesetengah wanita menyamakan rasa gatal tersebut seperti “semut halus yang merayap di serata tubuh”, atau “labah-labah merayap di bawah kulit”.

Walau bagaimanapun, selain daripada rasa gatal, mungkin tiada simptom lain yang kelihatan kecuali garis-garis merah kesan digaru.

Kolestasis biasanya berlaku dalam trimester ketiga ketika kepekatan hormon kehamilan paling tinggi.

Wanita berketurunan etnik Sweden dan Chile mempunyai risiko yang lebih tinggi menghidap Kolestasis.

Simptom-simptom Kolestasis semasa Hamil

  • Penularan kegatalan di serata tubuh atau mungkin hanya di tapak kaki dan tapak tangan.
  • Air kencing berwarna gelap dan najis berwarna pudar.
  • Kepenatan, keletihan dan rasa tidak bermaya yang amat sangat.
  • Hilang selera makan dan tidak berminat dengan makanan.
  • Rasa loya.
  • Berasa sugul dan tertekan.
  • Sukar untuk tidur disebabkan kegatalan.
  • Kulit berwarna kuning – dikenali sebagai demam kuning.

Bagi wanita yang menghidap masalah kegatalan yang berat dan tidak mendapat tidur yang cukup, terdapat beberapa kaedah rawatan yang boleh dipilih.

Krim, ubat makan dan larutan basuhan berubat dengan ubatan khusus boleh membantu mengurangkan himpunan garam hempedu.

Bayi anda juga perlu dipantau dengan teliti jika anda telah didiagnosis menghidap Kolestasis. Jika keadaan bertambah teruk, bayi anda mungkin akan mendapat risiko dilahirkan tidak cukup bulan malah meninggal dunia ketika dilahirkan.

Apakah Pruritic Urticarial Papules and Plagues? (PUPP)

Tidak semua kegatalan semasa hamil disebabkan oleh regangan dan kekeringan kulit. Pruritic Urticarial Papules and Plagues – (atau ringkasnya PUPP), adalah satu lagi kondisi yang “unik kepada kehamilan“.

Kira-kira 1% daripada populasi wanita menghidap PUPP yang secara umumnya terhad kepada trimester ketiga.

PUPP lebih kerap dihidapi oleh wanita yang mengandung bayi kembar atau anak pertama.

Jika kulit anda menjadi merah dan gatal dengan kesan bintat dan/atau bengkak yang kelihatan seperti geligata, anda mungkin menghidap PUPP. Anda disarankan berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang betul. Kondisi tersebut biasanya mula-mula kelihatan di bahagian perut atau pada dan di sekitar kesan regangan. Dari perut ia boleh merebak dengan agak pantas ke betis, punggung, belakang dan ada kalanya ke lengan dan kaki.

Walaupun namanya berbunyi agak serius, tetapi PUPP hanya dihidapi dalam tempoh yang singkat dan akan hilang selepas bayi lahir.

Jika anda tidak tahan dengan rasa gatal sehingga menjejaskan kualiti kehidupan dan kenikmatan yang sepatutnya anda rasa semasa mengandung, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan yang boleh di preskripsi oleh doktor.

Sungguhpun keadaan ini memang amat menjengkelkan, namun ia tidak mendatangkan risiko kepada ibu atau bayi.

Apabila bayi telah lahir, simptom-simptom PUPP biasanya akan hilang walaupun ia mungkin akan kelihatan beberapa minggu selepas bersalin.

Psoriasis semasa Mengandung

Jika anda seorang penghidap psoriasis, simptom-simptom kondisi tersebut akan berkurangan sepanjang tempoh kehamilan.

Ini disebabkan oleh hormon-hormon kehamilan yang memberi kesan positif ke atas proses-proses biasa yang mempengaruhi psoriasis.

Bilakah Anda Perlu Berasa Bimbang Dengan Kegatalan Kulit Semasa Mengandung?

Jika anda risau, itu adalah alasan yang cukup untuk bercakap dengan penyedia perkhidmatan materniti anda

Anda perlu rujuk dengan ahli profesional kesihatan mengenai sebarang rasa gatal yang anda hadapi supaya diagnosis yang betul boleh dibuat.

Rasa gatal juga boleh timbul tanpa sebarang sebab yang ketara di mana faktor penyebab yang dinyatakan hanyalah “kehamilan”. Tetapi adalah penting untuk anda meminta ahli profesional kesihatan untuk memantau kegatalan tersebut dan ruam yang mungkin mengiringinya (jika ada).

  • Jika anda berasa khuatir dengan rasa gatal sehingga menjejaskan kualiti hidup anda.
  • Jika anda mempunyai ruam yang menular ke bahagian tubuh yang lain, rasa kejang pada leher, sensitif terhadap cahaya dan/atau suhu badan yang bertambah tinggi.
  • Jika anda mempunyai ruam yang kelihatan telah dijangkiti. Penilaian perubatan amat diperlukan jika anda turut mempunyai kesan kemerahan, calar-calar merah, rasa sakit, nanah atau cecair yang keluar daripada ruam.
  • Jika kualiti tidur anda terjejas.
  • Jika anda sudah “tidak tahan“ dengan rasa gatal dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada perkara lain.
  • Anda juga perlu mendapatkan penilaian perubatan jika mengalami kegatalan yang teruk khususnya di tangan dan kaki pada tempoh akhir kehamilan.
  • Jika air kencing anda berwarna amat gelap dan najis berwarna pudar, anda berasa loya dan muntah-muntah, tiada selera makan dan berasa penat. Simptom-simptom ini adalah amat membimbangkan dan anda perlu pergi berjumpa doktor.

Sertai komuniti Huggies (jika anda belum!). Menjadi ibu merupakan fasa baru dalam hidup anda, jadi anda ingin mencari komuniti ibu baru yang dapat menempuh perjalanan bersama anda. Petua kehamilan, petua keibubapaan dan sampel lampin percuma yang dikongsi di platform Huggies Club dapat memastikan anda juga bersedia untuk anak anda yang baru lahir.

Maklumat yang terkandung di dalam laman ini hanyalah untuk tujuan perkongsian informasi sahaja dan bukan sebagai gantian kepada nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan oleh pakar. Sentiasa dapatkan nasihat daripada doktor atau pembekal penjagaan kesihatan berkelayakan untuk sebarang persoalan berkenaan keadaan perubatan. Jangan berlengah untuk dapatkan nasihat perubatan, tidak mengendahkan nasihat perubatan atau berhenti mengambil rawatan perubatan disebabkan oleh maklumat di dalam laman ini. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, Kimberly-Clark tiada liabiliti atau bertanggungjawab untuk tuntutan, kesilapan atau pengabaian di dalam laman ini, dan boleh meminda material pada bila-bila masa tanpa sebarang notis.

ARTIKEL YANG BERMINAT

40WeeksPregnantWhatToExpectjpg
Kehamilan 26/06/2020

Hamil 40 Minggu

Dari kontraksi Braxton Hicks hingga otot pelvis yang diregang, ambil tahu tentang tanda-tanda bersalin yang boleh anda jangka.

39WeeksPregnantWhatToExpectjpg
Kehamilan 26/06/2020

Hamil 39 Minggu

Kami tahu aktiviti apa yang sesuai untuk anda sekarang, seperti temu janji waxing dan berenang di kolam renang.

7-Tips-on-How-to-Take-Care-of-Baby's-Sensitive-Skin
Bayi Baru Lahir 22/06/2020

Menjaga Dengan Penuh Berhati-hati: Menjaga Kulit Sensitif Bayi Anda

Tiada apa yang lebih anda suka daripada memeluk bayi anda yang mempunyai kulit yang sangat lembut. Jadi ia merupakan perkara baik yang kulit bayi anda sangat sensitif kepada sentuhan anda yang menenangkan, mengasuh dan penting untuk perkembangan mereka.

Huggies club

Huggies NB promo code

Huggies NB promo code

ARTIKEL DENGAN TOPIK