Pemakanan Semasa Mengandung

Pemakanan Semasa Mengandung

KONGSI ARTIKEL

Walaupun anda tidak begitu memikirkan tentang pemakanan anda sebelum ini, namun apabila anda mengandung serba sedikit pasti akan ada perubahan berlaku. Sesungguhnya, apa sahaja yang anda makan dan minum, akhirnya akan sampai juga kepada bayi dalam kandungan anda. Bagaimana keadaan bayi anda membesar, berkembang, berinteraksi dan bergerak di dalam kandungan bergantung sebahagiannya daripada pemakanan anda. Ini bermakna usaha anda memikirkan tentang pemakanan semasa mengandung dan berikhtiar untuk membuat keputusan yang bijak dan munasabah mengenai pemakanan anda pasti akan membawa manfaat bukan sahaja untuk masa ini, tetapi juga untuk masa akan datang.

Garis panduan pemakanan am sebelum konsepsi

  • Anda perlu menggalakkan pasangan anda untuk meminimumkan pengambilan kafein dan alkohol kerana kedua-duanya boleh memberi kesan toksik kepada penghasilan sperma. Jika salah seorang daripada anda perokok, adalah lebih baik untuk berhenti terus. Lelaki yang merokok menghasilkan jumlah sperma yang kurang dalam setiap ejekulasi berbanding yang tidak merokok, manakala perokok wanita boleh menghadapi masalah dengan kitaran ovulasi dan haid mereka.

  • Pantau pengambilan Vitamin C anda dan pastikan anda banyak memakan buah-buahan sitrus, beri, buah kiwi dan meminum jus buah-buahan segar.

  • Anda berdua juga perlu menjaga berat badan. Berat badan yang berlebihan atau obes boleh menjejaskan kesuburan dan membawa kepada ketidakseimbangan hormon. Wanita yang terlalu gemuk atau terlalu kurus bagi usia mereka boleh mendapat gejala kitaran haid yang tidak normal.

  • Anda dan pasangan anda perlu banyak memakan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Keperluan nutrisi tubuh anda dapat dipenuhi dengan mengamalkan pemakanan sihat yang meliputi daging merah dan putih, ikan dan makanan laut, susu dan makanan daripada tenusu serta roti dan bijirin.

  • Tingkatkan pengambilan kalsium anda dengan meminum susu dan produk-produk tenusu; pengambilan folat dengan memakan lebih banyak sayuran berdaun hijau; dan tingkatkan Omega 3 dengan mengambil minyak ikan.

  • Anda dinasihatkan untuk mula mengambil suplimen asid folik sehingga 3 bulan sebelum anda bercadang untuk mengandung bagi membantu melindungi bayi anda daripada kecacatan saluran saraf. Anda disyorkan untuk mengambil suplimen sebanyak 500 mikrogram/hari. Walaupun anda memakan makanan yang mempunyai kandungan folat yang tinggi, adalah sukar untuk memastikan bahawa anda telah mendapat sukatan yang mencukupi untuk memperoleh manfaat perlindungan daripada diet tersebut.

Kecelaruan Makan

Kita mempunyai perhubungan dengan makanan dan seperti perhubungan lain dalam kehidupan kita, sama ada boleh membawa kebaikan atau keburukan. Masalah berat badan lazimnya merupakan akibat yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang menganggap makanan sebagai sumber sokongan, sahabat, malah sebagai suatu sumber ketenangan. Masalah tabiat makan yang belum diselesaikan juga sukar untuk dibendung sepanjang tempoh kehamilan, dan sering kali ia akan datang kembali.

Jika ia tidak ditangani dengan sewajarnya, kecelaruan makan boleh menghantui anda bertahun-tahun lamanya dan kanak-kanak juga berkemungkinan akan mewarisinya, khususnya daripada ibu-ibu mereka.

Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan di peringkat awal kehamilan anda jika anda pernah menghadapi masalah tabiat makan dan dengan makanan pada masa lalu. Tindakan tersebut memerlukan keberanian kerana langkah pertama dalam usaha peningkatan diri adalah untuk mengakui bahawa anda mempunyai masalah dan kemudian, berikhtiar menyelesaikannya. Bayi dalam kandungan anda bergantung sepenuhnya kepada anda untuk memberikannya segala nutrisi yang diperlukan bagi membesar dan terus hidup dengan sihat. Sesungguhnya, ini sudah cukup untuk menjadi sebab ramai ibu bapa berusaha mendapatkan bantuan.

Pemakanan semasa mengandung dan mabuk hamil

  • Beri perhatian kepada isyarat tubuh anda sama ada anda ingin makan atau tidak. Cuba mengelak daripada memakan sesuatu yang anda tidak sukai hanya kerana ia baik untuk anda. Mengekalkan hidrasi adalah penting walaupun anda tidak mampu makan terlalu banyak. Meminum air, beberapa cawan teh nipis, fruit smoothies, bijirin dengan susu rendah lemak malah air limau nipis tidak berkarbonat adalah beberapa pilihan minuman yang baik untuk anda.

  • Sentiasa sediakan sebuah bekas berisi biskut dan segelas air di atas meja sisi katil anda. Sebelum turun dari katil di waktu pagi pastikan anda mengisi sesuatu ke dalam perut anda terlebih dahulu supaya ia tidak hanya dipenuhi enzim pencernaan semata-mata.

  • Mintalah pasangan anda memasak makanan untuk keluarga sehingga anda pulih. Keadaan ini mungkin akan berterusan sehingga anda melepasi trimester yang pertama. Ramai wanita mengandung tidak tahan melihat dan menghidu bau daging mentah. Oleh itu, cubalah untuk mengelakkannya jika perlu.

  • Minumlah segelas susu dan makan sesuatu yang ringan sebelum anda masuk tidur.

  • Elakkan makanan yang terlalu pedas, berlemak dan terlampau manis. Makanan lembut dan mudah di hadam seperti nasi, pasta, mi, sandwic, buah-buahan dan roti bakar adalah pilihan yang baik untuk anda.

Manfaat pemakanan semasa hamil yang sihat

  • Mengurangkan risiko anemia dan diabetes gestasi.

  • Pemakanan ibu mengandung yang baik akan bermanfaat kepada bayi dalam kandungan dari segi berat badan, tumbesaran dan fungsi otak.

  • Tempoh pemulihan yang lebih baik selepas bersalin dan penurunan ke berat badan sebelum bersalin yang lebih pantas.

  • Pemakanan yang sihat semasa mengandung dapat mengurangkan perubahan mood secara mendadak dan menghasilkan kesihatan emosi yang lebih baik.

  • Lebih bertenaga, mengurangkan kelesuan dan memberi kepuasan yang lebih baik.

  • Kurang mengalami masalah sembelit dan pergerakan usus yang lembap. Serat dalam makanan bertindak seperti ‘penyapu’ yang akan menolak bersama kandungan dalam usus besar anda.

  • Pemakanan yang baik semasa mengandung akan memberi contoh positif kepada anak-anak anda. Ia membantu mereka mempelajari bahawa pemakanan adalah penting dan merupakan cara utama yang membantu menghasilkan kesihatan yang baik.

Garis panduan pemakanan am semasa hamil

  • Jangan tinggalkan waktu makan atau biarkan berjam-jam berlalu di antara waktu makan. Sasarkan untuk makan  5-6 kali jumlah makanan yang kecil dan sederhana setiap hari  yang tidak menyebabkan anda berasa terlalu kenyang.

  • Makanlah sarapan, walaupun anda tidak biasa bersarapan sebelum mengandung. Ia adalah masa makan paling penting dalam sehari dan akan membantu anda memulihkan kandungan gula dalam darah ke paras yang sihat selepas anda tidak makan berjam-jam lamanya.

  • Elakkan daripada ‘terperangkap’ dalam pengamalan pemakanan yang dikatakan boleh menghilangkan toksin daripada tubuh anda. Anda sebenarnya tidak perlu berasa bimbang, melainkan anda mempunyai masalah dengan fungsi hati dan buah pinggang anda. Jika anda mempunyai kemusykilan, mintalah nasihat bidan dan doktor anda.

  • Sasarkan agar anda mempunyai ‘hubungan’ baik dengan makanan dengan menganggap ia sebagai sumber tenaga untuk tubuh anda dan suatu kaedah untuk mengekalkan fungsi tubuh pada kapasiti yang sebenar. Cuba ambil masa untuk memikirkan tentang makanan yang baik untuk anda dan bayi anda dan jangan hanya biarkan selera mempengaruhi keputusan anda tentang jenis makanan yang akan anda makan.

  • Jangan hadkan kepelbagaian makanan sepanjang tempoh kehamilan anda. Bayi dalam kandungan anda akan turut mengecapi rasa makanan yang anda makan apabila ia menelan cecair amniotik. Ini akan menyediakan deria rasa mereka supaya apabila mereka sudah cukup matang untuk makan makanan pejal, iaitu sekitar usia 6 bulan, mereka akan dapat menerima citarasa yang lebih pelbagai.

  • Pilihlah makanan yang mengandungi kalsium untuk sarapan anda. Bijirin yang di campur susu, yogurt, teh atau kopi susu, atau keju dan roti bakar akan membantu mengganti kekurangan kalsium dalam tulang anda yang telah digunakan dalam tempoh yang singkat. Tulang adalah tisu hidup dan seperti akaun bank, ia memerlukan deposit. Oleh itu, tingkatkan pengambilan kalsium dan vitamin D secara kerap untuk kekal kuat.

  • Sentiasa bawa snek dan makanan ringan di mana sahaja anda berada. Memakan sesuatu untuk mengalas perut boleh memberi perbezaan yang ketara kepada keadaan anda, khususnya sepanjang tempoh anda berasa loya dan muntah-muntah iaitu pada trimester pertama.

  • Puaskan rasa mengidam anda jika ada. Asalkan anda tidak mengidamkan perkara yang tidak boleh dimakan (Pica), kerana lazimnya rasa mengidamkan sesuatu di kalangan wanita mengandung mempunyai sebab dari sudut biologi. Contohnya mengidam untuk memakan buah oren atau tomato sememangnya masuk akal kerana tubuh memerlukan vitamin C untuk menyerap zat besi daripada makanan.

  • Berhenti meminum alkohol kerana sebenarnya tiada jumlah alkohol yang terbukti selamat untuk diminum oleh wanita mengandung. Satu-satunya cara bagi memastikan anda tidak meminum terlalu banyak adalah dengan tidak meminumnya langsung. Kembalilah meminum minuman ringan, jus buah-buahan segar, air soda yang diperah limau nipis atau jus lemon atau hanya air kosong dari pili. Florida yang dicampurkan ke dalam air tersebut akan sampai ke rahang bayi anda di mana gigi dan selaput enamel mereka akan terbentuk.

  • Jangan lupa untuk membeli garam yang diiodin. Wanita hamil memerlukan unsur penting ini untuk fungsi kelenjar tiroid yang sihat. Terutamanya, bayi mereka juga memerlukan bahan tersebut untuk meningkatkan IQ mereka. Makanan laut, roti yang diperkaya iodin, sayuran berdaun hijau dan telur adalah antara sumber lain yang baik bagi unsur tersebut.

  • Teliti label dan biasakan diri anda dengan maklumat nutrisi makanan yang anda makan. Aturan umum senarai nutrisi adalah jumlah tertinggi bagi sesuatu komponen makanan akan berada di tempat pertama dalam senarai ramuan. Pengilang dikehendaki memperincikan kandungan dalam senarai menurun. Jika anda mempunyai masalah untuk menyebut sesuatu ramuan atau tidak mengenalinya sebagai sejenis makanan, ia berkemungkinan besar tidak baik untuk anda dan bayi anda.

Apa yang perlu dielakkan

  • Makanan yang berkemungkinan mengandungi bakteria Listeria. Ini termasuk susu dan produk-produk susu yang tidak dipasteur, jenis-jenis keju lembut, hidangan daging ala “deli” dan sushi yang tidak dimasak. Makan di restoran salad atau bufet juga boleh membawa risiko. Sasarkan untuk memakan makanan yang anda yakin telah disimpan dan disejukkan dengan sebaiknya atau makanan yang benar-benar panas yang tidak terdedah terlalu lama.

  • Ikan mentah dan ikan pemangsa yang berada di rujukan atas dalam rantaian makanan berkemungkinan mempunyai kandungan raksa yang tinggi. Jerung, ikan todak, orange roughy dan barramundi seeloknya dielakkan oleh wanita mengandung. Bayi di dalam kandungan ibu yang memakan terlalu banyak raksa semasa mengandung boleh mendapat masalah saraf.

  • Cuba kurangkan pengambilan kafein dalam minuman seperti teh/ kopi/ minuman kola dan coklat.

huggies-logo

Berminat untuk dapatkan berita terkini, petua keibubapaan dan tawaran eksklusif?

SERTAI KAMI HARI INI!

Anda mungkin berminat dengan artikel kehamilan ini!

Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Hamil

Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Hamil

Baca Lebih Lanjut
Jerawat Batu Semasa Mengandung

Jerawat Batu Semasa Mengandung

Baca Lebih Lanjut
Urutan Ketika Hamil

Urutan Ketika Hamil

Baca Lebih Lanjut