Urutan Ketika Hamil

Urutan Ketika Hamil

KONGSI ARTIKEL

 

Urutan ketika hamil telah menjadi semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Teknik yang dahulu hanya diamalkan oleh golongan wanita yang gemarkan terapi alternatif itu kini dianggap sebagai suatu kaedah yang baik dan berguna untuk mengurangkan ketidakselesaan umum ketika hamil. Baru-baru ini, terdapat kaji selidik dan bukti berasaskan saintifik yang menunjukkan manfaatnya, namun hakikat ini telah lama diketahui oleh golongan wanita hamil.

Siapa yang mengamalkan urutan ketika hamil?

Jika anda bercadang untuk mendapatkan urutan ketika hamil, adalah penting untuk anda mendapatkan pakar terapi yang mengkhusus dalam bidang urutan pranatum. Rujuklah kepada bidan atau pakar obstetrik anda untuk mendapatkan syor daripada mereka atau semak senarai pengamal di tempat anda dalam ‘yellow pages’. Anda juga mungkin boleh mendapatkan butiran mereka menerusi pencarian di Internet untuk dihubungi. Apabila anda berjaya mendapatkan pakar terapi urutan, tanyalah mereka tentang kelayakan dan jenis latihan yang mereka miliki. Ada juga ahli fisioterapi yang mempunyai minat khusus dalam bidang urutan obstetrik (kehamilan) dan menyediakan perkhidmatan urutan tersebut.

Apakah kaedahnya?

Salah satu daripada kaedah urutan ketika hamil paling popular adalah yang menggunakan prinsip-prinsip berasaskan teknik urutan Sweden. Ini disebabkan oleh manfaat diberikan khususnya dalam mengurangkan ketegangan otot dan memperbaiki aliran darah dan penyaluran limfa.

Ada di kalangan ahli terapi urutan yang menggunakan minyak aromaterapi dan membakar setanggi untuk meningkatkan pengalaman deria. Walau bagaimanapun, ada juga jenis-jenis minyak yang perlu dielakkan kerana ia boleh mencetuskan kontraksi rahim. Ini termasuk oregano, pudina, taim, selasih, sej dan rosemary. Anda juga boleh meminta agar ahli terapi urutan tersebut menggunakan minyak yang mempunyai kandungan haruman yang rendah atau tidak mengandungi haruman langsung.

Banyak atau sedikitnya bahagian kulit yang akan didedahkan semasa urutan juga bergantung sepenuhnya kepada anda. Ada wanita yang tidak mempunyai masalah untuk mendedahkan badan mereka dan ada juga yang memilih untuk tidak terlalu terdedah. Walau bagaimanapun, anda perlu sedari bahawa untuk mendapatkan manfaat urutan yang maksimum, ahli terapi perlu dapat menyentuh permukaan kulit anda sebanyak mungkin.

Apakah kelainan urutan ketika hamil?

Urutan pranatum berbeza berbanding urutan umum kerana ia boleh membawa risiko jika titik tekanan tertentu diberi rangsangan. Titik-titik tersebut terletak di pegelangan tangan dan buku lali di mana jika diurut, boleh memberi rangsangan kepada rahim menyebabkan ia memulakan kontraksi. Ahli terapi juga perlu mengamalkan sensitiviti dan kelembutan serta mengambil kira keadaan bayi.

Ada juga pasangan yang bakal menimang cahaya mata yang mendapatkan ahli terapi untuk memberikan urutan kepada kedua-dua mereka. Mereka dapati bahawa ini merupakan cara yang baik untuk merapatkan hubungan dan meningkatkan keintiman emosi antara mereka. Anda juga akan dapati bahawa ahli terapi anda biasanya sanggup menunjuk ajar kepada pasangan anda beberapa teknik urutan yang boleh dicuba sendiri.

Masalahnya, saya tak boleh berbaring!

Peralatan yang diperlukan untuk urutan ketika hamil adalah sedikit berbeza berbanding urutan biasa. Kedudukan badan semasa urutan pranatum adalah penting untuk mendapatkan keberkesanan maksimum dan manfaat sepenuhnya. Ramai ahli profesional kesihatan dan urutan mengesyorkan kedudukan mengiring untuk wanita hamil.

Kaji selidik mutakhir menyokong penggunaan meja urutan standard berbanding meja yang mempunyai lubang yang ditebuk di tengah-tengah meja untuk memuatkan perut hamil. “Lubang yang ditebuk” membuatkan abdomen tergantung tanpa sokongan dan ini menyebabkan regangan pada ligamen rahim. Walau bagaimanapun, jika meja yang ditebuk atau bantal masih digunakan, ia tidak boleh digunakan terlalu lama di mana tempoh maksimum untuk penggunaannya hanya selama 10-15 minit Menghubungi ahli terapi urutan sebelum temu janji untuk menjelaskan tentang kedudukan badan semasa urutan juga mungkin boleh memberi manfaat kepada anda.

Anda tidak disyorkan untuk berbaring menelentang setelah melepasi tempoh trimester pertama, oleh itu kedudukan anda akan terhad kepada meniarap atau mengiring. Ahli terapi biasanya menyediakan pelbagai jenis bantal dan kusyen berbentuk untuk menyokong perut anda dan mengelakkan regangan otot berlebihan.

Ada juga ahli terapi yang menawarkan perkhidmatan urutan bergerak dan membawa bersama meja urutan mudahalih yang boleh dilipat ke saiz beg. Anda hendaklah memaklumkan ahli terapi anda, jika saiz perut anda yang hamil menyebabkan anda berasa tidak selamat dan tidak stabil apabila berada di atas meja urutan tersebut. Anda dan ahli terapi anda boleh menentukan kedudukan alternatif paling selesa dan selamat sebagai asas untuk anda berbaring.

Harga yang dikenakan untuk urutan ketika hamil adalah berbeza-beza dan rebat juga ada disediakan melalui dana insurans kesihatan tertentu. Ini bergantung kepada tahap perlindungan tambahan yang disediakan.

Manfaat urutan pranatum:

  • Apabila dilakukan secara berkesan, ia terbukti dapat mengurangkan hormon-hormon tekanan dalam tubuh wanita mengandung. Ia juga meninggikan paras hormon tertentu yang rendah dalam tubuh wanita yang mengalami kemurungan.
  • Ia mengurangkan kerunsingan dan kebimbangan apungan bebas. Mood keseluruhan juga lazimnya akan bertambah baik selepas urutan.
  • Wanita hamil juga sering mendapati urutan dapat memulihkan tenaga kerana ia memberi mereka peluang untuk berehat dan rileks sepenuhnya.
  • Bagi sesetengah wanita hamil, urutan boleh melegakan rasa loya dan pedih ulu hati. Walau bagaimanapun bagi sebahagian yang lain, terapi urutan ini boleh menjadikan simptom-simptom tersebut lebih teruk.
  • Boleh melegakan ketidakselesaan ketika hamil yang dihadapi saban hari seperti sakit tengkuk, rasa lenguh belakang, rasa tekanan pada tulang pelvis, kekejangan kaki, bengkak buku lali dan kaki serta edema (penahanan cecair).
  • Menghasilkan pengenduran otot dan melegakan sakit sendi. Urutan ketika hamil boleh membantu wanita khususnya yang mengalami kesakitan saraf skiatik.
  • Membina hubungan perasaan yang rapat dengan orang lain serta merapatkan hubungan. Ramai wanita hamil yang mengalami perubahan dalam hubungan intim dengan pasangan mereka dan menghadapi rasa seperti “kurang belaian”.
  • Urutan ketika hamil boleh mempercepatkan proses sakit bersalin dan menghasilkan tahap kesihatan yang lebih baik bagi si ibu dan bayi. Ibu-ibu yang lebih tenang boleh mengurangkan risiko yang memerlukan intervensi semasa sakit hendak bersalin dan semasa melahirkan bayi.
  • Urutan ketika hamil juga boleh memberi peluang kepada wanita untuk menghentikan semua aktiviti yang sedang mereka lakukan dan memfokus kepada kenikmatan yang dirasai apabila orang lain melakukan sesuatu hanya untuk mereka.
  • Tidur yang lebih lelap hasil daripada kurangnya ketegangan otot dan kelegaan daripada ketidakselesaan secara umumnya.

Bilakah masanya urutan ketika hamil perlu dielakkan:

  • Apabila bidan atau doktor anda tidak membenarkannya.
  • Ada sesetengah ahli terapi urutan berpegang kepada polisi untuk tidak melakukan urutan ketika hamil sepanjang tempoh trimester pertama semasa kehamilan. Ini disebabkan oleh risiko tinggi yang boleh membawa kepada keguguran kandungan dalam tempoh kehamilan 12 minggu pertama.
  • Jika anda tergolong dalam kategori kehamilan berisiko tinggi atau pernah melahirkan bayi tidak cukup bulan.
  • Jika anda menghidap Hipertensi Disebabkan Oleh Kehamilan seperti tekanan darah tinggi.
  • Jika anda mengalami pra-eklampsia atau bengkak secara tiba-tiba dengan penahanan cecair dan sakit kepala yang teruk.
  • Jika urutan ketika hamil menyebabkan anda berasa loya, pening, sakit kepala atau tidak merasa sebarang kenikmatan diurut. Jangan merasakan anda perlu melakukannya hanya atas cadangan orang lain. Sesetengah wanita benar-benar tidak suka disentuh dan merasakan bahawa urutan adalah satu pencerobohan privasi mereka.
  • Anda perlu menegur jika merasakan bahawa ahli terapi urutan melakukan urutan yang terlalu keras. Mintalah mereka untuk melakukan urutan secara lebih lembut dan kekalkan suasana berkomunikasi dengan beliau. Inilah yang dikatakan sebagai hubungan terapeutik yang perlu diusahakan oleh kedua-dua pihak untuk memperoleh manfaat yang maksimum.

Bagaimana ketika sedang sakit hendak melahirkan?

Urutan juga boleh digunakan ketika sedang sakit hendak melahirkan untuk melegakan sakit belakang dan mengendurkan ketegangan otot dengan berkesan. Ia juga satu kaedah yang baik dan praktikal untuk membuatkan pasangan yang membantu merasakan bahawa mereka turut memberi sumbangan. Tidak semua wanita suka diurut semasa sedang sakit hendak melahirkan. Ada juga yang merasakan ia sebagai gangguan dan sesuatu yang menjengkelkan. Sesetengah ahli terapi urutan atau doula menggunakan minyak aromaterapi untuk membantu kelahiran. Penggunaan minyak tersebut berserta urutan dianggap dapat mempercepatkan proses kelahiran.

 

huggies-logo

Berminat untuk dapatkan berita terkini, petua keibubapaan dan tawaran eksklusif?

SERTAI KAMI HARI INI!

Anda mungkin berminat dengan artikel kehamilan ini!

Pemakanan Semasa Mengandung

Pemakanan Semasa Mengandung

Baca Lebih Lanjut
Memanjakan Diri Semasa Hamil

Memanjakan Diri Semasa Hamil

Baca Lebih Lanjut
Apa Perlu Dielakkan Semasa Mengandung

Apa Perlu Dielakkan Semasa Mengandung

Baca Lebih Lanjut