Apa Perlu Dielakkan Semasa Mengandung

Apa Perlu Dielakkan Semasa Mengandung

KONGSI ARTIKEL

Kebanyakan wanita hamil memang berusaha gigih mengelakkan diri mereka daripada sebarang perkara yang berpotensi membahayakan diri dan bayi yang mereka kandung. Meminimumkan faktor risiko dan mengambil tahu apa yang harus dijauhi semasa hamil merupakan sebahagian daripada kaedah untuk mengurangkan kebarangkalian timbul masalah. Walau bagaimanapun, apa yang anda boleh kawal ada hadnya.

Kebarangkalian ibu-ibu hamil mengandung bayi cacat adalah antara 3 – 5%. Walau bagaimanapun, peratusan ini meningkat lebih tinggi lagi apabila para ibu terdedah kepada pelbagai faktor bersifat teratogonik (menyebabkan lahir cacat) kepada bayi yang dikandung.

Anda perlu maklum dan tahu apa yang anda perlu lakukan semasa mengandung. Kadangkala anda mendengar pelbagai cerita yang menakutkan dan bukan mudah hendak menapis apa yang boleh dipercayai dan apa yang harus diabaikan. Persoalan “apa akan berlaku jika” dan bagaimana untuk menghadapinya jika ia benar-benar berlaku sentiasa menjadi perkara yang bermain dalam fikiran ibu-ibu mengandung. Oleh sebab itu, pengaruh yang berpotensi membahayakan kehidupan secara umum, terutamanya semasa mengandung, wajar dihapuskan atau sekurang-kurangnya dikurangkan.

Diet

Diet yang tinggi asid folik penting, terutamanya sepanjang trimester pertama. Bayi yang mempunyai paras asid folik rendah sering mengalami kecacatan saluran saraf, misalnya, spina bifida. Justeru, ibu-ibu disarankan mengambil vitamin tambahan sebelum kelahiran yang berkualiti iaitu sebanyak 0.5mg atau 500 mikrogram asid folik setiap hari. Makanan yang tinggi asid folik terdiri daripada sayur-sayuran berdaun hijau, bijirin yang diperkayakan, hati dan limau gedang.

Listeria

Sesetengah makanan terlalu berisiko untuk dimakan oleh wanita mengandung. Justeru, mereka dinasihatkan supaya menjauhinya supaya tidak berlaku kemungkinan dijangkiti jangkitan daripada Listeria yang boleh mengakibatkan bayi mati dalam kandungan dan komplikasi lain. Listeria adalah penyakit bawaan makanan yang boleh dipindahkan dalam keju lembut, pate, daging gaya “deli” sejuk, koslo dan sushi. Makanan dingin dalam peti sejuk yang tidak disimpan secara betul atau tidak cukup sejuk, aiskrim yang dihidang lembut, susu tidak dipastur dan produk diperbuat daripada susu tidak dipastur serta makanan laut sedia dimakan juga berisiko.

Ikan

Sesetengah ikan berpotensi mendatangkan risiko untuk dimakan semasa mengandung kerana sesetengah spesies ikan mengandungi paras raksa yang tinggi. Bayi sedang membesar dalam kandungan yang terdedah kepada paras raksa yang tinggi boleh mengakibatkan pelbagai masalah kepada sistem saraf mereka. Oleh sebab itu, ikan yang mempunyai kandungan raksa tinggi seperti jerung, mersuji, tuna sirip biru selatan, orange roughy dan ikan todak hendaklah dielakkan sama sekali.

Alkohol

Setakat ini, tiada cadangan telah dikeluarkan berkenaan kadar selamat untuk mengambil alkohol semasa mengandung. Uri tidak menapis sepenuhnya alkohol dan dengan demikian, peratusan tertentu alkohol masih mampu sampai kepada bayi yang dikandung. Jangan risau jika anda telah meminum alkohol semasa persenyawaan. Apa yang penting sekarang ialah anda perlu berpantang daripada minum alkohol sepanjang baki tempoh anda mengandung.

Ubat

Jika anda diberi ubat preskripsi oleh doktor dan mereka tahu bahawa anda mengandung, jangan berhenti mengambilnya. Berhenti daripada mengambil ubat tersebut serta-merta mungkin boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan anda. Jika anda ragu, rujuk doktor anda dan ahli farmasi. Kebanyakan hospital umum besar mempunyai talian terus yang anda boleh hubungi untuk mengemukakan pertanyaan kepada ahli farmasi.

Garis panduan umum mengenai pengambilan ubat semasa mengandung adalah seperti berikut:

  • Elakkan mengambil sebarang ubat, kecuali jika perlu. Jangan membuat preskripsi sendiri dan beranggapan apa yang dilabel semata-mata sebagai “semula jadi“ adalah selamat.

  • Walaupun sebagai orang dewasa, mengambil ubat mungkin dianggap selamat , tetapi bagi bayi yang baru terbentuk daripada hanya beberapa ratus sel sahaja, ia mungkin akan membahayakan bayi itu.

  • Dapatkan nasihat doktor anda atau ahli farmasi jika anda tidak pasti.

  • Jika anda mengambil ubat, pastikan anda mengambil ubat mengikut dos yang betul, mengikut masa yang ditetapkan dan sepertimana yang disyorkan iaitu semasa perut kosong atau sebaliknya.

Ubat-ubatan Tambahan

Mengambil sesetengah herba atau terapi semula jadi semasa mengandung boleh membawa risiko berkaitan, terutamanya pada tempoh trimester pertama semasa bayi itu terbentuk. Anda diingatkan sekali lagi supaya merujuk doktor anda atau ahli farmasi untuk mengetahui apa yang terbukti selamat untuk diambil dan apa yang berpotensi bertoksik. Dilabelkan sebagai “semula jadi” semata-mata bukanlah satu jaminan kualiti atau selamat diambil. Banyak ubat-ubatan tambahan masih belum diuji secara mendalam dan tidak mempunyai bukti saintifik untuk menyokong dakwaan mengenai keberkesanannya. Justeru, anda harus berhati-hati dan sentiasa memeriksa senarai kandungan ubat tersebut secara terperinci dan jumlah dos yang perlu diambil.

Kafein

Ibu-ibu mengandung disyorkan supaya menghadkan pengambilan kafein. Had selamat bagi pengambilan kafein ialah 200 mg/hari. Kopi halus dalam cawan bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 130 mg. Oleh sebab itu, beberapa cawan kopi puteh sepenuhnya atau cappucino sehari adalah dilarang sama sekali. Dua cawan kopi cair sehari atau empat cawan teh adalah lebih selamat. Minuman kola juga perlu dihadkan kepada kurang 1 liter sehari, sebaik-baiknya tidak bergula, sementara minuman tenaga pula hendaklah kurang daripada satu tin sehari.

Toksin Persekitaran

Plumbum, kimia, radiasi X-ray dan pengionan, wap cat, racun pembasmi serangga dan ejen pencuci boleh membawa risiko kepada ibu-ibu mengandung dan bayi mereka yang belum lahir. Biasakan membaca label pada semua produk dan peringatan amaran pada produk-produk tersebut. Jika anda ada kemungkinan terdedah kepada potensi bahaya, pastikan anda berada dalam bilik yang baik ventilasinya dan memakai penutup hidung dan pakaian yang memberi perlindungan daripada bahaya tersebut. Jika persekitaran tempat kerja anda berisiko, maklumkan kepada majikan anda bahawa anda mengandung dan jika boleh, pastikan majikan boleh mengatur supaya anda diberi lokasi bekerja alternatif.

Rokok

Rokok mengandungi nikotina dan pelbagai kimia lain yang berbahaya. Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang merokok lebih kecil tubuhnya berbanding bayi yang ibunya tidak merokok. Mereka juga lebih berisiko dilahirkan pramatang, meninggal dunia akibat SIDS, mengalami lelah dan pelbagai penyakit lain berkaitan pernafasan. Ibu-ibu perokok yang menyusu badan tidak menghasilkan susu ibu sebanyak yang sepatutnya dan bayi mereka juga akan berbau seperti asap rokok. Terapi penggantian nikotina tidak disyorkan semasa mengandung. Justeru anda perlu mencari pilihan lain untuk berhenti merokok.

Dadah Haram atau Rekreasi

Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menggunakan dadah rekreasi boleh mengakibatkan peningkatan risiko kepadanya untuk mengalami pelbagai komplikasi. Keguguran, uri tertanggal, mati dalam kandungan, pramatang, berat badan dilahirkan ringan dan ketagihan merupakan antara gejala yang biasa dialami. Kebanyakan hospital bersalin besar menjalankan program khusus bertujuan untuk menyokong para ibu yang mengalami isu ketagihan atau bergantung kepada dadah. Kakitangan hospital ini merupakan profesional yang sangat terlatih dalam menjalankan tugas dengan menggunakan pendekatan tidak menghukum. Jika anda mempunyai masalah untuk berhenti mengambil dadah dan memerlukan sokongan, cari dalam buku panduan telefon tempatan anda dan hubungi untuk dirujuk kepada pasukan perubatan sewajarnya. Ceritalah kepada bidan atau doktor anda mengenai cara untuk berhenti menagih.

Penyakit

Melindungi sepenuhnya diri anda daripada risiko penyakit semasa anda mengandung merupakan satu perkara yang mustahil untuk dilakukan. Virus dan bakteria tidak memilih siapa yang akan dijangkiti kerana sifat semula jadinya berkembang kepada seberapa ramai yang mungkin, tanpa disedari. Anda yang sedang mengandung juga tidak terkecuali daripada jangkitan. Tindak balas sistem imun anda berkurangan semasa anda mengandung berbanding sebelum mengandung dan ini menyebabkan anda lebih terdedah kepada kemungkinan jangkitan.

Oleh sebab itu, basuh tangan apabila perlu untuk memastikan tangan anda sentiasa bersih. Elakkan menarik nafas apabila ada orang batuk dan bersin. Jika anda secara tidak sengaja berada dekat dengan seseorang yang muntah, tahan nafas anda seketika. Kebanyakan virus adalah bawaan udara dan virus ini menumpang pada jisim udara yang mudah dimasuki apabila kita menarik nafas.

Dua jangkitan virus yang berpotensi boleh menyebabkan komplikasi semasa mengandung ialah rubella (demam campak) dan demam cacar. Cytomegalovirus, Parvovirus (B-19), Toxoplasmosis dan beberapa Penyakit Jangkitan Seks seperti Virus Herpes dan Siflis juga membahayakan ibu-ibu mengandung.

Mandi Air Panas, Spa Galian, Sauna dan Spa

Pada bulan-bulan permulaan mengandung, janin sangat sensitif kepada suhu tubuh ibu. Sebarang persekitaran yang menyebabkan suhu tersebut meningkat dan kekal tinggi berpotensi boleh mengakibatkan masalah kepada perkembangan janin. Paras suhu biasa bagi manusia ialah sekitar 36.1 – 37.3 darjah Selsius. Ibu-ibu yang berada di peringkat awal mengandung dinasihatkan supaya mengurangkan kemungkinan menghidapi demam yang menyebabkan penyakit. Mereka juga dinasihatkan supaya mengelak daripada berada di persekitaran yang boleh meningkatkan suhu tubuh mereka ke paras melebihi 39 darjah Selsius.

Kucing

Jangan bawa kucing kesayangan anda ke tempat kurungan walaupun anda mendapat nasihat sebaliknya daripada orang lain. Anda perlu mengelakkan diri daripada najis kucing anda. Justeru, jika dulang najisnya perlu dibersihkan, mintalah bantuan suami anda untuk membersihkannya sepanjang anda mengandung. Penyakit parasit yang dikenali sebagai Toxoplasmosis boleh berpindah ke tangan manusia dan kemudian merebak ke mulut.

Jika anda perlu menggali tanah di taman, pakailah sarung tangan dan basuh tangan anda selepas itu. Buah-buahan dan sayur-sayuran juga perlu dibersihkan dengan teliti sebelum dimakan dan elakkan memakan makanan yang anda kurang pasti seperti hiasan pada makanan yang dihidangkan.

Perhubungan Diselubungi Ancaman dan Keganasan

Banyak kejadian keganasan domestik dalam hubungan perkahwinan yang berlaku tidak dilaporkan. Kejadian ini akan memuncak ketika ibu mengandung, terutamanya apabila kandungan itu tidak dirancang, ibu bapa tersebut masih muda dan tiada sokongan atau wujud tekanan tambahan. Pengangguran, ketiadaan tempat tinggal, penyalahgunaan dadah dan alkohol menyebabkan keganasan bertambah buruk.

Sekiranya anda, bayi dalam kandungan anda atau anak-anak yang lain atau haiwan peliharaan anda berada dalam risiko keganasan, dapatkanlah bantuan dengan segera. Rujuk buku panduan telefon tempatan anda untuk mendapatkan perkhidmatan bantuan dan maklumkanlah bidan dan doktor anda. Rumah perlindungan yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak yang berdepan dengan risiko keganasan mungkin terdapat di bandar-bandar dan pekan-pekan. Fikirkan perancangan keselamatan dan bina rangkaian keselamatan yang terdiri daripada orang yang boleh dipercayai dan yang boleh membantu anda sekiranya anda memerlukan bantuan.

Tidak Memakai Tali Pinggang Keledar

Kaedah paling selamat bagi seseorang ibu mengandung yang sedang dalam perjalanan dengan kereta, bas, kapal terbang atau sebarang kenderaan lain ialah memakai tali pinggang keledar yang diluluskan. Walaupun rasa tidak selesa, sekiranya berlaku kemalangan, tali pinggang keledar yang diikat dengan betul boleh menyelamat nyawa anda dan bayi yang anda kandung.

 

huggies-logo

Berminat untuk dapatkan berita terkini, petua keibubapaan dan tawaran eksklusif?

SERTAI KAMI HARI INI!

Anda mungkin berminat dengan artikel kehamilan ini!

Pemakanan Semasa Mengandung

Pemakanan Semasa Mengandung

Baca Lebih Lanjut
Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Hamil

Makanan Yang Perlu Dielakkan Semasa Hamil

Baca Lebih Lanjut
Memanjakan Diri Semasa Hamil

Memanjakan Diri Semasa Hamil

Baca Lebih Lanjut