Sifat Malu Di Kalangan Kanak-kanak

Kanak-kanak daripada pelbagai rupa dan usia mempunyai personaliti yang berbeza. Salah satu sifat kanak-kanak yang boleh menjadi cabaran kepada ibu bapa untuk menanganinya ialah sifat malu. Ahli psikologi bersetuju bahawa sifat ini terbentuk daripada keperibadian kanak-kanak dan lazimnya tiada kaitan dengan penjagaan ibu bapa. Menurut Louis Schimdt, seorang profesor madya psikologi dari McMaster University di Hamilton, Kanada yang mengkhusus dalam perkembangan otak kanak-kanak dan bayi: “Sifat malu di kalangan sesetengah kanak-kanak seakan terbentuk secara semulajadi. Sifat ini hilang secara beransur-ansur seiring dengan peningkatan usia mereka. Namun, sifat malu tersebut kekal di kalangan 10 hingga 15 peratus daripada mereka.

Walau bagaimanapun, bayi dan kanak-kanak tidak mempunyai kecenderungan untuk berinteraksi antara satu sama lain sehingga berusia dua tahun. Mereka boleh duduk dan bermain bersebelahan satu sama lain, tetapi mereka tidak mungkin mampu berinteraksi secara bermakna. Perlakuan yang dikenali sebagai parallel play atau bermain secara selari ini adalah permulaan kepada bermain bersama-sama suatu hari nanti. Kebolehan untuk mula berkawan akan terbentuk apabila si manja anda berusia sekitar dua tahun ke atas. Apabila berusia tiga tahun, mereka biasanya akan pergi mendapatkan kanak-kanak lain secara aktif untuk bermain bersama-sama. Bezanya, kanak-kanak pemalu biasanya tidak akan melakukan perkara tersebut.

Perlu juga dimaklumi bahawa terdapat beberapa peringkat perkembangan sifat malu yang normal di kalangan semua kanak-kanak. Terdapat perbezaan yang jelas antara sifat malu yang timbul seiring dengan perkembangan kanak-kanak dan sifat malu yang berterusan. Sesetengah kanak-kanak akan melalui peringkat di mana mereka akan menunjukkan sifat malu atau tidak boleh berenggang dengan ibu bapa selama beberapa minggu. Walau bagaimanapun, sifat malu akan menjadi isu yang berkekalan di kalangan 10-15 peratus daripada kanak-kanak, walaupun usia mereka semakin meningkat. Justeru, ibu bapa perlu cakna bahawa kanak-kanak yang kekal bersifat malu memerlukan cara pengendalian yang teliti dan menggunakan strategi lembut untuk membantu mereka mengatasi keadaan ini.

Antara ciri-ciri lazim kanak-kanak pemalu ialah mereka enggan berenggang dengan anda semasa bersiar-siar dan akan sentiasa memegang anda serta malu apabila bertemu orang lain, baik yang tidak dikenali mahu pun yang dikenali. Sifat malu peringkat perkembangan ini akan beransur-ansur hilang di kalangan kebanyakan kanak-kanak bermula pada usia kira-kira tiga tahun, tetapi kanak-kanak pemalu akan terus bersifat sedemikian. Ini lazimnya bermakna mereka enggan mengambil bahagian dalam aktiviti berkumpulan dan tidak mahu menjadi tumpuan. Acara-acara seperti majlis hari jadi mereka sendiri akan membuatkan mereka berasa tertekan.

Ibu bapa mungkin akan berasa runsing dan susah hati melihat anak mereka enggan berinteraksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa. Dalam situasi begini, ibu bapa perlu memahami keadaan anak mereka. Jangan sekali-kali menyuarakan kekecewaan yang anda rasai di hadapan anak anda, sama ada kepada mereka atau kepada orang dewasa lain.

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai anak anda dan kesejahteraan mereka serta bimbang ia melibatkan lebih daripada sifat malu, adalah penting untuk anda menangani kekhuatiran tersebut dengan meminta nasihat doktor. Mereka akan menasihati berhubung tindakan yang perlu anda ambil serta memberi syor-syor yang sewajarnya dan merujuk anda kepada kumpulan-kumpulan sokongan.

Apa yang boleh anda lakukan dengan si manja bagi membantu mereka menangani sifat malu mereka?

Anda boleh memulakan usaha dengan memastikan agar anda sendiri menunjukkan contoh tingkah laku yang positif. Anak-anak perlu melihat anda berinteraksi secara yakin dengan orang lain. Jika sebagai ibu bapa, anda sendiri cenderung ke arah bersifat malu, anda perlu segera mengatasi sikap tersebut. Kanak-kanak adalah seperti span, mereka akan meniru segala tindak-tanduk anda.

Elak daripada melabel mereka dengan gelaran pemalu. Ini akan hanya menguatkan persepsi mereka terhadap diri sendiri dan akan memburukkan lagi keadaan.

Anda perlu ingat, bagi mereka ketakutan mereka adalah nyata. Mereka mungkin tidak mampu menyuarakan apa yang mereka takutkan, justeru, anda hendaklah sentiasa prihatin terhadap perasaan mereka.

Mula berikhtiar dengan melakukan perkara-perkara kecil. Aturkan agar mereka dapat bermain secara satu sama satu dengan kanak-kanak lain.

Maklumkan kepada anak anda jika anda akan membawanya ke acara-acara sosial. Terangkan keadaan di sana yang sibuk dan sesak serta jelaskan kepada mereka tentang perkara yang boleh mereka lakukan untuk berasa selamat. Berlatih mengucapkan ‘helo’ dan ‘apa khabar’ bersama-sama mereka sebelum pergi ke majlis tersebut. Melakonkan senario-senario yang mungkin berlaku juga dapat membantu mereka berasa lebih selamat.

Salah satu cara yang berkesan jika anda menghadiri acara-acara sosial adalah dengan tiba seawal mungkin. Ini akan membolehkan mereka membiasa diri dengan persekitaran dan berjumpa dengan tetamu-tetamu lain dalam suasana yang kurang bising dan memberi tekanan kepada mereka.

Pastikan anda memperuntukkan masa yang lebih. Kanak-kanak pemalu biasanya mengambil masa yang lebih lama untuk membiasakan diri dengan sesuatu tempat atau aktiviti baharu. Jika anda perlu meninggalkan mereka di situ, pastikan anda telah memperuntukkan lebih masa supaya anda boleh berada di tempat tersebut untuk beberapa lama dan membantu mereka membiasa diri.

Teruskan menghadiri acara-acara sosial dengan anak anda. Lama-kelamaan mereka akan lebih berkeyakinan.

Perkara paling penting dalam mengendalikan kanak-kanak yang pemalu adalah membantu mereka mengembangkan kemahiran yang mereka tampilkan. Ini akan membantu mereka berasa lebih percaya kepada diri sendiri dan yakin. Mungkin mereka mempunyai bakat dalam nyanyian, tarian atau pembinaan, apa yang penting kemahiran tersebut akan membolehkan mereka menumpukan perhatian kepada perkara yang mereka mampu lakukan dengan baik. Sifat malu adalah ciri-ciri keperibadian yang perlu diuruskan secara lembut dan konsisten bagi membantu si kecil memaksimumkan potensi mereka.

Adakah anda tahu bahawa rata-rata bayi akan memerlukan 1057 perubahan lampin dalam 6 bulan pertama? Dapatkan promosi eksklusif dan sampel lampin percuma dengan menyertai Huggies Club sekarang!

 

Maklumat yang terkandung di dalam laman ini hanyalah untuk tujuan perkongsian informasi sahaja dan bukan sebagai gantian kepada nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan oleh pakar. Sentiasa dapatkan nasihat daripada doktor atau pembekal penjagaan kesihatan berkelayakan untuk sebarang persoalan berkenaan keadaan perubatan. Jangan berlengah untuk dapatkan nasihat perubatan, tidak mengendahkan nasihat perubatan atau berhenti mengambil rawatan perubatan disebabkan oleh maklumat di dalam laman ini. Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang, Kimberly-Clark tiada liabiliti atau bertanggungjawab untuk tuntutan, kesilapan atau pengabaian di dalam laman ini, dan boleh meminda material pada bila-bila masa tanpa sebarang notis.

ARTIKEL YANG BERMINAT

Ibu Bekerja Dengan Bayi  | Huggies Malaysia
Kanak-kanak 22/06/2020

Mencari Keseimbangan Di Antara Kerjaya & Keluarga

Jika anda seorang ibu yang bekerja, sudah pastinya anda telah memperhebat kemahiran multitugas anda. Walaubagaimanapun, kami tahu mengimbang kerja dan keluarga merupakan suatu

What-is-Separation-Anxiety-in-Toddlers-and-How-to-Deal-with-it
Kanak-kanak 22/06/2020

Kebimbangan Pemisahan Bayi

Adakah si manja anda menangis, kelihatan risau dan terganggu emosinya apabila anda meninggalkan bilik? Adalah mereka akan memeluk kaki anda, tidak mahu berjauhan dan meraung tidak henti sehingga mereka didukung?

Attention-Seeking
Kanak-kanak 01/07/2020

Menjaga kanak-kanak

Dalam tempoh beberapa tahun (iaitu semasa bayi mula bertatih), anak-anak kecil kita mula menguji persekitaran dan orang di sekeliling mereka.

ARTIKEL DENGAN TOPIK