Semua kategori
Menjaga kanak-kanak
Keibubapaan

Tabiat Si Manja

Mengajar tabiat yang baik untuk masa depan

Mengadakan rutin, jadual dan penetapan masa adalah penting bagi kita sebagai ibu bapa bagi membolehkan si kecil membentuk tabiat yang baik sebagai kanak-kanak.

Tabiat kanak-kanak yang dimaksudkan di sini meliputi beberapa aspek. Ia merangkumi tabiat makan, tidur dan tingkah laku yang menjadi asas pembentukan kanak-kanak yang bertanggungjawab dan mampu berdikari.

Tabiat makan kanak-kanak

Berbeza dengan apa yang dipercayai oleh kebanyakan ibu bapa, kanak-kanak yang sihat tidak akan membiarkan diri mereka lapar. Kanak-kanak dilahirkan dengan kebolehan untuk mengawal selera mereka sendiri. Semasa mereka masih bayi, kita tahu bahawa mereka akan memberi isyarat kepada kita bila mereka lapar (tak kira pada waktu siang atau tengah malam!). Walau bagaimanapun, kita sering mempunyai anggapan yang salah bahawa jika si kecil tidak menghabiskan makanan mereka, mereka akan sakit atau mendapat sejenis sindrom kecelaruan makan. Walhal hakikat sebenar adalah sebaliknya! Jika kita memaksa anak-anak kita makan walaupun tindak balas semula jadi menyatakan bahawa mereka sebenarnya telah kenyang, kita mungkin akan menyebabkan mereka menghidap obesiti suatu hari nanti.

Jika anak kita diberi pelbagai makanan yang menyihatkan pada waktu makan dan snek di waktu pagi dan petang, mereka pasti akan belajar untuk mengikuti isyarat yang diberikan oleh tubuh mereka dan hanya makan apabila mereka lapar. Sebagai ibu bapa, kita perlu lebih relaks dan yakin bahawa, walaupun pada hari ini mereka makan tidak lebih daripada setengah biji epal, mereka mungkin akan makan lebih banyak pada hari esok. Jika anak-anak kita telah terbiasa dengan pelbagai makanan yang menyihatkan yang sentiasa tersedia (seperti sayuran, buah-buahan dan makanan yang mengandungi kalsium, protein dan omega-3), mereka akan mampu mengawal sendiri tabiat makan dan ini pasti akan dapat mengurangkan kebimbangan kita terhadap pemakanan mereka.

Tabiat kanak-kanak pada waktu malam

Masa tidur adalah sesuatu yang mencabar bagi ibu bapa dan kanak-kanak di peringkat tumbesaran yang berbeza. Justeru, penetapan rutin bagi anda dan anak anda adalah sesuatu yang amat penting. Ini adalah bagi memastikan agar seisi rumah tahu apa yang akan berlaku dan kemungkinan besar tiada sebarang protes daripada si anak jika mereka sudah masak dengan rutin setiap malam. Contohnya, ada sesetengah keluarga memulakan rutin tidur mereka sehingga sejam sebelum waktu tidur. Ia mungkin meliputi mandi air panas dan memakai pakaian tidur. Sesetengah ibu bapa akan duduk di bilik anak-anak mereka dan akan membacakan sebuah buku cerita (ada juga sehingga 3!) kepada anak-anak mereka. Mereka akan mengucapkan atau mengalunkan “I love you” apabila cerita telah tamat diikuti dengan ciuman selamat malam. Ramai juga ibu bapa yang akan memadamkan lampu (atau sekurang-kurangnya memalapkan lampu) sebelum meninggalkan bilik. Biasanya anak-anak tidak akan memprotes perbuatan tersebut jika ia telah biasa dilakukan setiap malam kerana mereka faham, tiada gunanya membantah. Mereka juga akan berasa selamat kerana mereka tahu bahawa rutin ini akan bersambung keesokan paginya di mana kedua-dua ibu bapa yang disayangi akan ada bersama apabila mereka bangun daripada tidur.

Tingkah laku kanak-kanak

Terdapat beberapa rutin penting yang perlu dibiasakan untuk manfaat kanak-kanak. Salah satu daripadanya adalah mengajar perkara asas tentang kebersihan. Ini termasuk cara-cara membersihkan diri selepas ke tandas dan membasuh tangan mereka sebelum makan. Jika mereka telah dibiasakan melakukan rutin ini sebelum makan, mereka akan berasa bahawa ia adalah sesuatu yang tidak perlu difikirkan atau dibantah kerana ia hanyalah salah satu perkara biasa yang mereka lakukan (iaitu tabiat).

Begitu juga dengan perlakuan membersihkan gigi. Jika ia telah menjadi kebiasaan oleh seisi rumah, pasti tiada sebarang tentangan akan disuarakan (lebih-lebih lagi jika ibu bapa menunjukkan contoh yang baik dalam rutin ini!). Tingkah laku lain yang boleh diajar dan sentiasa diamalkan (justeru, menjadi “tabiat”) ialah melakukan kerja rumah seperti menyediakan meja sebelum makan atau mengemasnya selepas makan. Sentiasa bersopan dan menghormati orang lain juga adalah tingkah laku yang perlu sentiasa dipamerkan oleh orang dewasa yang berada di sekeliling kanak-kanak. Akhir sekali ialah memastikan bahawa sebarang hukuman yang telah ditetapkan dalam sesebuah keluarga ke atas sesuatu perilaku yang tidak baik hendaklah sentiasa konsisten dan saksama.

Secara keseluruhannya, mengajar anak-anak anda tabiat yang sihat dan diamalkan secara lazim adalah amat penting. Jika rutin yang memenuhi pelbagai keperluan asas seseorang kanak-kanak telah dibiasakan sehingga menjadi tabiat hariannya, kanak-kanak tersebut akan dapat menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain yang menyeronokkan dalam kehidupan mereka. Persekitaran yang boleh diramal memberi keselamatan dalam kehidupan kanak-kanak. Ia membekalkan mereka dengan keberanian untuk menerokai dunia dan menjadikan mereka lebih yakin dan tabah dalam menjalani kehidupan.

ARTIKEL YANG BERMINAT

Cara Menangani Sifat Malu Di Kalangan Kanak-Kanak | Huggies Malaysia
Kanak-kanak 22/06/2020

Sifat Malu Di Kalangan Kanak-kanak

Kanak-kanak daripada pelbagai rupa dan usia mempunyai personaliti yang berbeza. Salah satu sifat kanak-kanak yang boleh menjadi cabaran kepada ibu bapa untuk menanganinya ialah sifat malu.

Ibu Bekerja Dengan Bayi  | Huggies Malaysia
Kanak-kanak 22/06/2020

Mencari Keseimbangan Di Antara Kerjaya & Keluarga

Jika anda seorang ibu yang bekerja, sudah pastinya anda telah memperhebat kemahiran multitugas anda. Walaubagaimanapun, kami tahu mengimbang kerja dan keluarga merupakan suatu

7-Tips-on-How-to-Take-Care-of-Baby's-Sensitive-Skin
Newborn 22/06/2020

Menjaga Dengan Penuh Berhati-hati: Menjaga Kulit Sensitif Bayi Anda

Tiada apa yang lebih anda suka daripada memeluk bayi anda yang mempunyai kulit yang sangat lembut. Jadi ia merupakan perkara baik yang kulit bayi anda sangat sensitif kepada sentuhan anda yang menenangkan, mengasuh dan penting untuk perkembangan mereka.

Huggies club

ARTIKEL DENGAN TOPIK